PCCST ACADEMIC FESTIVAL AND SCIENCE FAIR 2016

Lawatan Sambil Belajar ke Princess Chulaborn College 2017

Pada 10 hingga 13 Januari 2017 yang lalu, sekumpulan guru dan pelajar dari SMK Syed Sirajuddin telah mengadakan kunjungan sambil belajar ke Princess Chulaborn College, Satun, Thailand. Aktiviti lawatan tersebut bersempena dengan penyertaan pelajar-pelajar dari SMK Syed Sirajuddin dalam program Akademik Festival and Science Fair 2016 anjuran Princess Chulaborn College yang turut disertai oleh para pelajar antarabangsa mewakili sekolah dan negera masing-masing iaitu Thailand, Malaysia, Indonesia dan Jepun. Penglibatan peserta dalam program tersebut berlangsung selama empat hari tiga malam. Para peserta dari SMK Syed Sirajuddin yang menyertai festival akademik tersebut terdiri daripada enam orang pelajar lelaki dan tujuh orang pelajar pedirempuan yang diiringi oleh lapan orang guru penasihat. Penyertaan pelajar ke program tersebut bertujuan untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dan pengalaman para pelajar dalam bidang Pendidikan menerusi pembabitan mereka secara praktikal selain perkongsian maklumat pendidikan dengan dunia luar.  Lapan aktiviti berunsurkan pendidikan telah disediakan oleh pihak penganjur antaranya ialah pameran Sains, pertandingan rekacipta Sains, pertandingan Matematik, pertandingan pengucapan awam, kuiz Asia, pertandingan penguasaan Bahasa Inggeris, pertandingan ejaan Bahasa Inggeris dan pertandingan melukis poster.

Pada hari pertama (10 Januari 2017), seramai 13 orang pelajar dan lapan orang guru bertolak dari perkarangan SMK Syed Sirajuddin dengan menaiki tiga buah kenderaan pelbagai muatan (MPV) ke wilayah Satun Thailand yang mengambil masa selama 45 minit untuk tiba di sana. Setibanya rombongan pelajar di Princess Chulaborn College, Satun, Thailand, mereka diberikan taklimat berkaitan aktiviti program dan latar belakang kolej oleh pegawai perhubungan program. Para peserta ditempatkan di asrama sekolah untuk penginapan sepanjang program tersebut. Pada sebelah malam, para peserta terlibat dalam aktiviti suai kenai yang dijalankan secara berkumpulan dan santai.  Persediaan pihak  sekolah untuk penyertaan dalam aktiviti pertandingan dilakukan pada hari kedua (11 Januari 2017). Para peserta berpeluang berkomunikasi dengan pelajar luar dan berkongsi maklumat sepanjang program. Dilihat dari sudut pandangan professional, ternyata bahawa peserta jemputan daripada pelbagai Negara, bangsa, budaya dan Bahasa mengambil kesempatan mempelajari sesuatu yang amat berharga terutamanya pada era globalisasi dan arus pembangunan yang semakin memuncak. Yakni mesra Bahasa, adab yang murni, akhlak, disiplin serta persefahaman antara peserta walaupun berlainan agama.  Mereka seakan lebih akrab dan berdisiplin menjaga peribadi Negara masing-masing serta kagum melihat ciri-ciri keperibadian yang murni dalam Masyarakat Thai, Indonesia dan Jepun. Pada hari ketiga (12 Januari 2017) hari yang menjadi debaran buat semua peserta telah muncul akhirnya .  Para peserta dari SMK Syed Sirajuddin beroleh pengalaman berharga apabila  diberi peluang berada sebaris dengan sekolah-sekolah berasrama penuh di Malaysia. Antaranya ialah SMSTSP, SMS Sultan Mohd Jiwa, SMS Alam Shah, Maktab Tentera Diraja, SMS Muar dan lain-lain lagi.