16 Mei merupakan hari yang bersejarah bagi semua cikgu di seluruh Malaysia iaitu Hari Guru. Beberapa aktiviti telah dijalankan bagi memeriahkan Majlis Sambutan Hari Guru 2016 Peringkat Sekolah bagi Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Sirajuddin .
Semua pelajar dikehendaki berkumpul di Dataran Perhimpunan pada jam 7.25 pagi. Majlis bermula dengan nyanyian Lagu Negaraku yang dinyanyikan oleh seluruh warga sekolah . Pengacara majlis memulakan ucapan alu-aluan pada hari yang indah dan diikuti dengan bacaan doa sempena Hari Guru yang diketuai oleh En. Maliki Senawi.
Seterusnya, En. Rosli Osman membacakan perutusan KPPM kepada semua guru dalam setiap sekolah di Malaysia. Kemudian, ucapan wakil pelajar yang disampaikan oleh wakil pelajar dan Tuan Pengetua memberi ucapan perasmian bagi Majlis Sambutan Hari Guru 2016 Peringkat Sekolah. Terdapat gimik pelancaran Sambutan Hari Guru yang diadakan oleh pelajar-pelajar dan guru-guru. Selain itu, pihak pentadbiran bersama-sama memotong kek yang telah disediakan khas sempena Hari Guru. Majlis diteruskan dengan pembacaan ikrar Hari Guru. En. Rohimi bin Din yang mengetuai semua guru dalam acara melafazkan ikrar tersebut.
Kemudian, semua guru dan staf SMK Syed Sirajuddin menyanyikan lagu ”Guru Malaysia” dan “Biarku Menjadi Lilin” di hadapan pentas. Beberapa persembahan daripada para pelajar dan guru juga turut dipersembahkan. Seterusnya, semua guru dan staf berkumpul bagi sesi penggambaran.
Setelah tamat perhimpunan pagi tersebut, sambutan Hari Guru dimeriahkan lagi dengan beberapa aktiviti yang melibatkan para guru dan pelajar. Antaranya, Pertandingan Bola Sepak bagi kaum Adam iaitu Guru dan Staf vs Pelajar Lelaki Tingkatan 1, acara sukaneka bagi kaum Hawa iaitu guru-guru dan staf perempuan serta Persembahan Live Band daripada En. Razali Tajuddin dan kru-krunya di Dewan Patriotik.
Sambutan Hari Guru diakhiri dengan jamuan guru di Dewan Terbuka bagi semua guru dan staf.
Selamat Hari Guru buat semua guru di Malaysia. Anda adalah pembina negara bangsa di seluruh dunia!