PEND. KHAS
SEJARAH PENUBUHAN
PROGRAM PENDIDIKAN KHAS INTEGRASI BERMASALAH PEMBELAJARAN
SMK SYED SIRAJUDDIN
Program Pendidikan Khas Integrasi Bermasalah Pembelajaran (PPKIBP) Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Sirajuddin telah ditubuhkan pada 18 Julai 2013. Penubuhan program ini diasaskan oleh Cik Nurul Aini bt Abdullah yang bertukar dari SMK Syed Hassan, Kangar, Encik Norzri bin Hat dari SMK Padang Besar Utara dan Puan Ropizah binti Rohani dari SMK Arau yang telah mendaftar diri pada 16 Julai 2013 sebagai perintis kepada program ini. Program ini masih memerlukan sekurang-kurangnya seorang pembantu pengurusan murid (PPM) untuk membantu dalam pengurusan pelajar dan ianya dalam pertimbangan unit Pendidikan Khas JPNPs.
Cik Nurul Aini bt Abdullah En. Norzri bin Hat Pn. Ropizah binti Rohani
Barisan guru Perintis PPKIBP SMK Syed Sirajuddin
Kumpulan murid yang pertama mendaftar diri ialah pada 18 Julai 2013 ialah seramai 10 orang pelajar yang terdiri daripada tujuh orang pelajar perempuan dan tiga orang pelajar lelaki. Tujuh orang pelajar perempuan berkenaan merupakan penghuni Rumah Kanak-Kanak Arau manakala tiga orang pelajar lelaki berkenaan berpindah dari PPKIBP SMK Arau atas faktor kediaman mereka berdekatan dengan SMK Syed Sirajuddin. Namun begitu, tiga orang pelajar Rumah Kanak-Kanak Arau telah meninggalkan PPKIBP SMK Syed Sirajuddin kerana telah tamat tempoh perintah dan pulang ke tempat asal masing-masing.
Barisan pelajar PPKIBP SMK Syed Sirajuddin
Pada 22 Julai 2013, dua orang pegawai iaitu Pn Huzaimah bt Muain dan Pn Junaidah bt Abdullah dari Unit Pendidikan Khas JPN Perlis telah membuat lawatan rasmi untuk melihat perjalanan dan perlaksanaan program selain melihat keadaan yang perlu diberi bantuan dengan kadar yang segera. Semasa pertemuan itu juga, pihak JPN memaklumkan tentang bajet dan peruntukan kewangan yang telah diluluskan untuk menaiktaraf kemudahan prasarana PPKIBP.
Pihak Unit Pendidikan Khas, Jabatan Pendidikan Negeri Perlis telah memohon premis kosong dari pihak sekolah untuk dijadikan blok PPKIBP. Pihak pegurusan sekolah yang diterajui oleh mantan pengetuanya, Encik Zainol Abidin bin Ahmad telah bersetuju memberikan tiga buah makmal lama untuk dijadikan blok penempatan PPKIBP di mana pengubahsuaian bermula pada 17 Ogos 2013. Sebuah bilik makmal telah diubahsuai terlebih dahulu untuk dijadikan dua bilik darjah untuk kegunaan dan keselesaan para pelajar. Setelah hampir sebulan kerja-kerja pengubahsuaian dilakukan maka pada 19 September 2013, guru dan para pelajar mula membersihkan dan menggunakan sepenuhnya pada 23 Julai 2013. Penubuhan program ini merupakan sebagai satu landasan awal ke arah sebuah organisasi yang menginginkan kecemerlangan.
Keadaan kelas sebelum kerja-kerja pengubahsuaian dilakukan
Keadaan kelas selepas pengubahsuaian
Perancangan dan penyusunan organisasi mengambilkira kekuatan setiap guru supaya perincian tugas yang lebih jelas dibentuk mampu membawa kemajuan dan menjana potensi murid. Setiap guru berpeluang mengajar satu mata pelajaran major di samping mata pelajaran lain mengikut opsyen, kemahiran dan pengalaman. Pengurusan bidang kurikulum, kokurikulum serta hal ehwal murid dirancang dan dilaksanakan menitikberatkan perkembangan potensi diri murid sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Disediakan oleh :
Pn. Ropizah binti Rohani