Pada 31 Mac 2015 (Selasa), SMK Syed Sirajuddin bertuah sekali kerana DYTM Raja Muda Perlis dan DYTM Raja Puan Muda Perlis mencemar duli berangkat ke Program Titian Kasih 2015.
Program ini berlangsung seawal jam 7.30 pagi, dimulai dengan sesi ceramah. Terdapat 8 ceramah yang telah disampaikan, iaitu :
Ceramah 1 – ‘Jamalullail’ oleh Professor Moharif bin Shariff.
Ceramah 2 – ‘Kecemerlangan Sukan’ oleh En. Mustaffa bin Ibrahim
Ceramah 3 – ‘Kita mampu menggapai awan’ oleh En. Muhammad Muqarrobin bin Mokharuddin.
Ceramah 4 – ‘Kesihatan’ oleh Tg. Mohd Yusoff bin Tg. Ahmad
Ceramah 5 – ‘Bencana Alam’ oleh En. Asrul Nizwan bin Mohamad
Ceramah 6 – ‘Rukunegara’ oleh En. Muhammad bin Razali
Ceramah 7 – ‘Sahsiah Cemerlang, Remaja Terbilang’ oleh Ustaz Mohd Nazim bin Mohd Nor
Ceramah 8 – ‘Anak Perlis Warga Cemerlang’ oleh En. Affandi Rajani Khan
Lebih kurang jam 10.15 pagi, DYTM Raja Muda Perlis dan DYTM Raja Puan Muda Perlis tiba. DYTM merasmikan menara jam yang terletak di Dataran Sivik. Seterusnya, baginda berdua berkenan untuk menanam pokok bunga kertas. Sebaik selesai menanam pokok bunga kertas, baginda berdua turut bercemar duli bergambar kenang-kenangan bersama-sama warga SEMSIRA di Dataran Patriotik sebelum berangkat merasmikan surau Al-Falah.
Aturcara kemuncak DYTM Raja Muda Perlis DYTM Raja Puan Muda Perlis adalah di Dewan Merdeka. Sebaik selesai bertitah, Tuanku Raja Muda Perlis berkenan memberi anugerah kepada En. Mohd Izzudin bin Yahaya atas kecemerlangan beliau dalam arena olahraga dengan mengharumkan nama negeri Perlis sekali gus mencatat kemenangan dengan meraih pingat emas dalam acara 100 m (10.48 saat) dan 200 m (21.40 saat). Baginda turut mendoakan kejayaan En. Mohd Izzudin bin Yahaya dalam Temasya Sukan SEA yang akan berlangsung pada 5 hingga 16 Jun 2015 di Singapura.
Sebaik selesai persembahan daripada Pasukan Kadet Polis SMK Syed Sirajuddin, Miss Savannah Benton juga tidak ketinggalan membuat sebuah persembahan. Sebagai tanda menjunjung kasih, Nur Delima bt Saidon dari kelas 5 Bestari telah menghadiahkan sebuah lukisan hasil karya seni beliau sendiri kepada Tuanku Raja Muda Perlis.
Program Titian Kasih 2015 SMK Syed Sirajuddin berakhir dengan jayanya. DYTM Raja Muda Perlis dan an DYTM Raja Puan Muda Perlis berkenan bersalaman dengan semua pelajar Tingkatan 1, 2 dan 3 yang terlibat serta dengan semua warga SMK Syed Sirajuddin. LawatanTuanku berdua diakhiri dengan sesi bergambar beramai-ramai.
Sementara itu, sesi ceramah diteruskan sehingga selesai pada jam 1.15 tengah hari. Keseluruhannya, program ini berjalan dengan lancar dan yang lebih penting DYTM Raja Muda Perlis dan DYTM Raja Puan Muda Perlis berasa sangat sukacita sepanjang program berlangsung.
Dilaporkan oleh : Pn. Shaharom binti Saad